OBESITI disebabkan ketidakseimbangan mengamil dan mengguna kalori.
Ubah selera elak penyakit diabetis, obesiti
KENAIKAN harga gula sebanyak 20 sen pada 1 Januari lalu, sememangnya mencetuskan rasa tidak puas hati banyak pihak kerana mereka bimbang berlaku peningkatan harga barang utama dan lazimnya disusuli kenaikan harga makanan lain pula.
Ia ada kebenarannya dari sudut harga serta kepenggunaan. Hakikatnya ramai lebih peka dan prihatin soal kenaikan harga berbanding ‘barah’ dari sudut kesihatan akibat pengambilan gula berlebihan.
Pasti ramai tidak menyedari peningkatan bilangan penyakit diabetes atau kencing manis dan obesiti yang berkait rapat dengan kesan pengambilan gula.
Pengambilan gula pada kadar berpatutan yang diperlukan tubuh tidak akan menjejaskan kesihatan. Ia hanya mengundang padah apabila pengambilan secara berlebihan yang menjadi punca masalah diabetes atau kencing manis, kerosakan ginjal, kardiovaskular, obesiti, kemurungan serta kerosakan gigi.
Sama seperti karbohidrat, gula ialah punca utama tenaga untuk tubuh. Gula bukan sekadar partikel kecil berkilat tetapi juga boleh diperoleh daripada sumber lain seperti seperti susu (laktosa) dan buah-buahan (fruktosa).
| KENAIKAN harga gula seharusnya mendidik masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat. |
Malah semua perkataan yang berakhir dengan ‘ose’ (dalam bahasa Inggeris) adalah gula, misalnya glukose, sucrose (bahan pemanis) dan dextrose (rasa manis dalam madu).
Presiden Persatuan Obesiti Malaysia, Prof Dr Mohd Ismail Noor, berkata berbanding negara lain seperti Thailand, harga gula di Malaysia masih murah.
Justeru, ancaman kesihatan seperti masalah obesiti, kardiovaskular dan diabetes di Malaysia tidak akan berakhir selagi negara tidak mempunyai strategi kesihatan yang berkesan.
“Kenaikan harga gula adalah satu daripada cara. Mungkin ia akan membebankan golongan tidak berkemampuan tetapi mereka boleh dibantu dengan cara lain,” katanya.
Malah, Dr Mohd Ismail berpendapat, kenaikan harga gula itu sepatutnya sudah dibuat sejak dulu.
“Jika kenaikan harga gula menyebabkan harga minuman atau makanan kegemaran anda turut naik, mungkin ini masanya untuk berubah selera,” katanya.
Berikut ialah pelbagai jenis komplikasi penyakit akibat pengambilan gula secara berlebihan:
Peningkatan global kegemukan dan obesiti ini disebabkan oleh perubahan diet dengan pengambilan lebih banyak makanan yang bergula dan berlemak tetapi rendah vitamin, mineral dan mikronutrisi lain.
Selain itu, ia juga disebabkan kurangnya melakukan aktiviti fizikal disebabkan kemajuan sistem pengangkutan awam yang menyebabkan ramai tidak lagi gemar berjalan kaki atau berbasikal yang dapat membakar kalori.
Tidak lama dulu, WHO juga melaporkan mengenai kajian di Afrika Selatan pada 2003 yang mendapati pengambilan gula yang tinggi menjadi penyebab utama obesiti dan karies gigi. Kira-kira 20 peratus kalangan dewasa mengalami masalah obesiti, manakala sembilan peratus kanak-kanak turut mengalami masalah sama.
Mengikut garis panduan WHO, kegemukan berlaku apabila Indeks Jisim Tubuh (BMI) lebih 25 dan mereka yang melebihi bacaan 30 dikategorikan sebagai obesiti.
Malah, dalam tempoh 10 tahun akan datang, kira-kira 25 peratus warga Malaysia bakal menghidap diabetes jika tiada sebarang usaha pencegahan dibuat.
Walaupun diabetes dikaitkan dengan faktor genetik tetapi mengubah cara hidup mampu mencegah diabetes. Dari sudut perubatan, diabetes adalah kegagalan tubuh memproses gula dan kegagalan untuk menyingkirkannya dari salur darah. Justeru, kadar gula yang banyak dalam darah meningkatkan risiko sakit jantung dan strok atau angin ahmar, selain menyebabkan ginjal terjejas. Kadar gula yang tinggi juga menjejaskan sistem tubuh hingga menyebabkan buta.
Diet yang dipenuhi dengan pengambilan makanan tinggi kalori akan menyebabkan obesiti dan diabetes. Data 2006 menunjukkan 21 peratus rakyat mengalami kegemukan dan 6.2 peratus lagi obesiti. Secara bersama, obesiti dan diabetes adalah faktor risiko utama masalah jantung.
Sumber : B.Harianonline